Anda Suka Blog Ini?

::Followers::

Sunday, March 29, 2009

PERKUM-KASIH

Assalamualaikum.

Selesai sudah aktiviti untuk minggu ini. Empat aktiviti telah berjaya diselesaikan dan minggu depan bakal menyusur pula. Namun, dengan hati yang tenang,ikut sahajalah langkah ini dihayunkan kerana setiap gerakan ini diaturkan oleh Dia yang lebih mengetahui. Sedikit sebanyak ingin dikongsikan. Semalam, jam tiga baru saya merehatkan diri walaupun agak mata agak berat. Sekarang ini, jam 12 mata sudah mengantuk berbanding dahulu. Demi menyiapkan soalan-soalan untuk forum UPSI-UM mata terus bertahan. Kenapa tidak buat awal-awal? Sebab baru balik meeting, berehat-rehat sekejap barulah mulakan tugasan.

Sebenarnya, soalan itu telah diberikan oleh rakan saya, namun, saya minta kebenaran untuk membuat soalan lain untuk diajukan kepada ahli panel. Maka jari terus menaip. Nik Fazlida yang meminta saya untuk mengendalikan forum pada kali ini. Ahli-ahli panel agak hebat dengan menampilkan 2 orang pelajar dari UM Nasirah dan Lakshumy dan Abang Mamu sebagai wakil UPSI. Maknanya, berempat di pentas menampilkan 2 orang UPSI dan 2 dari UM. Selaku moderator, tugas terus dilaksanakan. Yang paling membimbangkan saya, saya berharap perut saya tidak buat hal pagi ini kerana kebiasaannya, sebelum pergi kelas, toilet sasaran utama apabila bangkit pagi. Kalau lah perut aku nih buat hal, merosakkan majlis lah pula nanti.

Berlangsungnya 3 pusingan dan 1 round table. Sesi soal jawab diadakan pada akhir diskusi tersebut. Cukup gah para panel masing-masing membedah siasat konsep yang diberikan iaitu “ KAUNSELOR PENJANA REVOLUSI MODAL INSAN TERBILANG” dan saya mendapati mereka berfikir secara kritikal berdasarkan pemerhatian saya ketika mereka mengulas setiap persoalan yang saya ajukan. Sekali tengok macam forum perdana pula. Hahaha. Namun, saya sangat terkejut, kerana junior saya yang sama sekolah dahulu menegur saya ketika dalam auditorium.Gembira juga berjumpa. Terdetik untuk bertanya, adakah dia juga mengambil jurusan kaunseling setahu saya dia mengambil jurusan berbeza?Maknanya, bukan sahaja pelajar kaunseling bersama pada hari ini tetapi UM membawa delegasi pelajar kursus lain juga. Diharapkan kolaborasi PERKUM dan KASIH akan merevolusikan dan member inovasi dalam dunia kaunseling kelak.

1.Pusingan pertama
Konsep “ KAUNSELOR PENJANA REVOLUSI MODAL INSAN TERBILANG”.

2.Pusingan kedua
Berkisarkan kebejatan sosial
Peranan kaunselor dan tanggapan/ persepsi
Program yang dijalankan oleh PERKUM?
Bentuk Kursus pengajian kaunseling di UM
Masalah peringkat perkembangan


3. Pusingan ketiga
Peranan sistem
Fungsi / peranan Cyber kaunseling
Strategi / cara yang dirasakan penting bagi kaunselor di IPT

4. Round table
Harapan dan perjuangan dalam kaunseling
Sejauhmana persediaan yang boleh dikongsikan sebelum keluar dr IPTA

Saya sempat bertukar-tukar nombor telefon dengan rakan-rakan panel pada akhir program. Kolaborasi dan networking amat penting dalam perkongsian dan percambahan ilmu. Semoga UM-UPSI terus bekerjasama kelak terutamanya pelajar kaunseling. Jika kaunselor-kaunselor berdaftar bawah naungan PERKAMA, mungkin alumni pelajar IPTA dalam kalangan kaunseling juga boleh diwujudkan. Terima kasih kepada semua yang hadir dan terima kasih kepada pimpinan KASIH kerana memberi kepercayaan terutamanya Nazri, Nik, dan Azril , Fauzi yang sentiasa memberi sokongan pada saya.

Friday, March 27, 2009

KASIH:SAINS DAN INOVASI:PPSMI



Alhamdulillah. Sepanjang minggu ini, segala yang dirancang telah termakbul. Memulakan langkah seperti biasa dengan semangat sederhana. Tidak sempat untuk mencoretkan entri seperti hari-hari sebelum. Namun, pada malam ini sempat untuk dikongsikan beberapa aktiviti telah berlangsung dengan baik. Ucapan tahniah kepada semua kerana membantu melancarkan program termasuk persatuan dan juga Biro Akademik Majlis Perwakilan Pelajar khasnya. Di sini ingin dikongsikan sedikit sebanyak aktiviti yang telah dijalankan dalam minggu ini. Tanggal 22 hb Mac 2009 saya ditugaskan bersama Zaki untuk mengendalikan Majlis Penutupan Hari Keluarga Kasih dan Anugerah Jabatan Bimbingan dan Kaunseling. Alhamdulillah berjalan dengan lancar walaupun tidak semua pelajar kaunseling hadir kemungkinan rata-rata sibuk dengan tugasan akhir. Buat pertama kalinya berganding dengan junior, Zaki yang pastinya memiliki vokal yang baik dan mengagumkan. Inilah, Zaki pelapis pelajar kaunseling yang baru. Walaupun pelbagai ragam ketika mendapatkan maklumat sebelum majlis, inilah pengalaman yang berharga khasnya mengendalikan majlis ketika pengakhiran senior berada di UPSI.

Pada 25 Mac 2009 pula, Barisan Exco Akademik menganjurkan program untuk taklimat Halatuju Selepas Graduan. untuk menyambung pengajian di peringkat master dan PhD.Alhamdulillah,230 orang hadir sudah cukup bermakna dan Alhamdulillah selamat dilaksanakan. Penceramah jemputan iaitu Prof.Omar Bin Abdull Kareem dari Institut Pengajian Siswazah UPSI, cukup memotivasikan para pelajar. Beliau cuba menyingkap kembali bagaimana dirinya dapat belajar sehingga peringkat sekarang sedangkan beliau ketika SPM mendapat pangkat 3 dengan Bahasa Inggeris dan Matematik mendapat gred gagal. Bagaimana insan yang tidak cemerlang dalam Bahasa Inggeris mampu belajar ke luar negara?Semua perkongsian beliau cukup bermakna kerana sebuah kegigihan. Katanya, sayang jika para pelajar tidak mahu menyambung pengajian di peringkat seterusnya. Akhirnya, program Halatuju Selepas Graduan ini telah berjaya dilaksanakan. Tahniah diucapkan kepada ahli jawatankuasa Biro Akademik dan Kerjaya kerana telah menyempurnakan program ini dengan jayanya dan pihak yang terlibat.

Pada 27 Mac 2009 pula, saya diminta sekali lagi untuk mengendalikan majlis buat pertama kalinya untuk Fakulti Sains dan Teknologi bagi perasmian Program bertemakan "Inovasi Sains, Teknologi diimplimentasi". Program yang dilangsungkan dalam keadaan sederhana pada pagi itu menunjukkan komitmen pelajar Fakulti Sains dan Teknologi untuk mengadakan program sempena Festival Sains. Majlis perasmian itu dirasmikan oleh Prof.Madya Dr.Mustafa Bin Ahmad, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi. Saya berasa agak janggal kerana saya bukanlah pelajar Fakulti Sains dan Teknologi dan mandat yang diterima saya buat selagi yang termampu.

Selepas perasmian, beralih arah pula pada forum. Sekali lagi, saya menerima mandat untuk mengacarakan forum yang beberapa ketika berlangsung. Biro Akademik dan Kerjaya MPP memikul sekali lagi mandat untuk melaksanakan program, mengadakan FORUM PPSMI: SATU INOVASI DAN KONFRANTASI DALAM PENDIDIKAN. Ahli panel yang cukup lantang membicarakan dengan terbuka mengikut penyelidikan yang telah dibuat dan kejatian diri Prof, Emeritus Dr.Abdullah Hassan dan Prof.Emeritus Isahak Haron mengupas dan membicarakan isu ini disambut baik dan ramai yang hadir. Moderator yang tampil ialah En.Arif Bin Mohd pensyarah di Jabatan Bahasa, UPSI. Alhamdulillah berjalan dengan lancar dan ketenangan ahli panel mengupas memperlihatkan ketinggian intelak yang sukar dinyatakan kerana terlalu kagum dengan mereka. Pada kali ini, mahasiswa diajak merenung kembali isu pendidikan negara dan kali ini jelas memperlihatkan mahasiswa UPSI peka terhadap isu pendidikan negara. Walaupun terpaksa menghrungi beberapa liku demi mengadakan Forum yang sesetengah pihak mengatakan isu ini boleh membawa kontroversi, namun kelulusan Naib Canselor amat mengagumkan dan memperlihatkan keterbukaan walaupun ada pihak yang tidak bersetuju. Tahniah dan terima kasih kepada semua yang membantu dan Saudari Aqilah dan Saudara Arif menjadi tulang belakang dengan memegang portfolio Ex-Office. Pengarah program iaitu adik Omar Bin Othman memperlihatkan kesungguhan termasuklah ahlijawatankuasa yang lain. Merangkap Timbalan Pengarah Program, saya mengucapkan syabas dan tahniah kerana kita sama-sama berganding bahu walaupun tenaga kita nampak biasa namun, program tetap berjalan dengan lancar. Menurut ahli panel, mereka menyatakan kagum dengan UPSI kerana keterbukaan membincangkan isu ini dan mereka ada menerima jemputan dari universiti lain tetapi terpaksa dibatalkan kerana ada pihak yang tidak bersetuju isu ini dibincangkan. Menurut Prof.Emeritus Dr.Abdullah Hassan, program seperti ini akan diadakan juga di KUIS dalam beberapa hari lagi. Ahli panel yang ketiga iaitu saudara Khairul Anwar Sazali merupakan Setiusaha Agung PKPIM cukup bernas bersama idea dan kerelevanan membicarakan isu ini .Walaupun berusia 25 tahun, namun sudah cukup mempamerkan kupasan yang menarik dan kupasannya minda kelas pertama.


Prof.Emeritus Dr.Abdullah Hassan

Prof.Emeritus Isahak Haron

Memetik kata-kata Profesor Ungku Abdul Aziz, "Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak berjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar maka telah berlangsung dengan jayanya forum pada hari ini.

Pada hari Ahad pula, sekali lagi tanggungjawab perlu dipikul untuk PERKUM. Doakan saya semoga majlis berjalan dengan lancar kerana kali ini membawa nama UPSI-UM kerana saya diberi kepercayaan oleh KASIH sebagai moderator forum pula. Pengalaman amat bermakna kerana kehilangan yang lepas membawa usaha kepada pencarian yang baru. Doakan ketenangan saya kelak.

Aktiviti seminggu ini padat dan kaki ini hanya mengikut langkah namun, tugas sebagai pelajar tetap diteruskan. Demikian aktiviti pada minggu ini yang telah berlangsung dan bakal berlangsung dalam masa 7 hari.

Tuesday, March 24, 2009

Nafas Baru


Sudah lama tidak mencoretkan sesuatu dalam blog. Cuma ingin diluahkan, mindaku dan segalanya dalam pembaharuan dan tangan ini mampu menaip semula. Alhamdulillah, mungkin kerana cepat sedar apa hikmah di sebaliknya dan Tuhan kasihankan aku. Terima kasih Tuhan. Perjalanan hidupku diteruskan seperti biasa dan terus melangkah. Tidak lama lagi peperiksaan akhir akan bermula dan aku perlu bersedia. Tugasan masih berbaki; 3 tugasan masih belum dihantar yang lain sudah dihantar. Selepas presentation semalam dengan Zaid membentangkan latihan ilmiah berkait dengan silang budaya iaitu berkaitan kajian dengan masyarakat Cina.

Tangisan membuatkan kita lebih mengenal diri dan adakalanya tangisan itu terapi untuk diri. Sememangnya diri tidak terlepas dari kesilapan. Syukur!Terima kasih kepada insan yang banyak membantu diri ini.

Entri ini tepaksa dihentikan memandangkan laporan aku perlu diteruskan. Laporan makmal kelompok masih tidak siap untuk dihantar sebelum hari jumaat. Terima kasih.

Monday, March 16, 2009

Tutup Tirai Kembalikan Semangat

Salam. Aku mula ingin menutup kisah kehilangan. Setelah berusaha hingga kepenatan, aku tidak mahu kerana laptop hilang kerja lain tertangguh. Hanya berharap sahaja jika pulang laptop itu, maka pulanglah. Sekarang, fikir macam mana ingin dapatkan laptop baru dan yang lama tetap di hati. Seorang kaunselor menyarankan kepada aku untuk bersamanya untuk sertai program agar dapat duit poket dan membeli laptop baru. Aku sedar, aku seolah-olah macam sasau kerana hilang bahan-bahan dalam laptop. Tidak mengapa. Tersurat bagiku, tersirat untuk Tuhan. Aku igin alihkan kehidupanku dalam keadaan normal kembali. Fokus kembali. Fikir masalah tidak akan selesai. Cuma doa! Tadi baru berjumpa Dr.Shaheda. Lecturer aku yang aku sentiasa berjumpa dengannya. Dia membantu aku memberikan doa yang patut diamalkan agar kekusutan akbiat kehilangan laptop berdoa hanya yang termampu. Aku kembali bersemangat apabila membaca entri di akhbar. Ramai yang tanya kenapa aku private kan. Ada sebabnya. Nanti suatu masa aku tidak private kan kembali. Gigi taring aku sakit, berdarah tidak hanti-henti selama laptop hilang. Kali terakhir sakit gigi usia 7 tahun. Macam-macam!

KOTA BHARU 12 Mac - Anak seorang nelayan, Nik Nur Madihah Nik Mohd. Kamal, 18, dari Sekolah Menengah Agama Arab Maahad Muhammadi (Perempuan) di sini mencatat sejarah di negeri ini apabila memperoleh 20 A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008.

Kejayaan itu menjadikan pelajar tersebut antara yang paling cemerlang di seluruh negara dengan mendapat 19 1A dan satu 2A, kurang satu mata pelajaran berbanding pencapaian pelajar terbaik SPM 2007, Azali Azlan yang memperoleh 21 A.

Nik Nur Madihah juga membuktikan kesusahan keluarga bukan halangan untuk dia mencapai kecemerlangan walaupun mengambil sebanyak mungkin mata pelajaran bagi menguji keupayaan dirinya dalam menghadapi cabaran hidup sebagai pelajar.

Anak sulung daripada empat beradik yang berasal dari Kampung Parang Puting, Pengkalan Chepa dekat sini itu bercita-cita menjadi ahli fizik dan kejayaan tersebut adalah hadiah istimewa untuk ibu bapanya di samping guru-guru sekolahnya.

Ayahnya, Nik Mohd. Kamal Husin, 41, hanya memperoleh pendapatan kira-kira RM700 sebulan dan bagi meringankan bebanan keluarga, ibunya, Mariani Omar, 42, pula bekerja sebagai pencuci di Universiti Malaysia Kelantan (UMK).

''Saya tidak ikut kelas tambahan di luar sekolah, hanya tumpukan perhatian pada apa yang boleh ditimba di sekolah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurutnya, dia menjadikan kejayaan pelajar cemerlang negara, Azali Azlan yang memperoleh 21 A dalam keputusan SPM tahun 2007 sebagai pembakar semangat.

Nur Madihah memperoleh 1A dalam mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah, Matematik, Sains, Kesusasteraan Melayu dan Geografi.

Dia turut mendapat A1 dalam Bahasa Arab Tinggi, Matematik Tambahan, Perdagangan, Prinsip Perakaunan, Ekonomi Asas, Fizik, Kimia, Tasawwur Islam, Pendidikan Al-Quran dan As-Sunnah, Pendidikan Syariah Islamiah, English for Science and Technology (EST) dan mendapat satu 2A dalam Biologi.

Nur Madihah cuma menyasarkan A bagi 18 mata pelajaran dan bersyukur kerana dia mampu melakukan sesuatu yang lebih baik walaupun tidak dapat memecah rekod Azali Azlan, bekas pelajar SMK Agama Yan, Kedah yang memperoleh 20 1A dan satu 2A.

Keputusan SPM Nik Nur Madihah bagaimanapun telah mengatasi rekod yang dipegang oleh dua pelajar cemerlang SPM 2006 di peringkat negara iaitu Nadiah Amirah Jamil dan Siti Fatimah Mukhtar.

Siti Fatimah yang belajar di sekolah yang sama dengan Nur Madihah, memperoleh keputusan 18 A dengan 17 1A dan 1 2A pada 2006 sekali gus mencatat sejarah pencapaian tertinggi di Kelantan pada tahun itu.

Ditanya tentang pencapaiannya itu, Nur Madihah memberitahu, dia tidak mempunyai jadual waktu yang tetap.

''Saya belajar setiap masa yang terluang dan belajar apabila terasa mahu belajar tanpa terpaksa atau dipaksa," ujarnya yang memperoleh 9 A dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) dua tahun lalu. (Aku setuju sangat-sangat, nak belajar biar datang sendiri rasa nak belajar tuh, jangan tunjuk rajin jerk,..tapi kandungan kosong kalau buat-buat stdi. Yang lemah kebanyakan budak-budak buat stdi depan mak bapak, buang masa kalau buat-buat ni, faedahnya tak da. Jadi mak bapak, jangan duk paksa anak belajar. Rajin dan mood belajar tuh, datang sendirinya pada budak tu..yang penting berkat!)

Dia yang bercadang melanjutkan pengajian di Asia Barat memilih jurusan fizik kerana mendapati kurang orang Melayu menerokai bidang tersebut.

Tahniah aku ucapkan. Moga kejayaan adik ini menjadi inpirasi kepada aku juga. Aku ingin terbang sejauh yang mungkin. Pointer aku masih tidak hebat. Namun, aku percaya pada perjalanan yang Tuhan tentukan dan aku ingin menjejaki orang-orang sekeliling aku yang telah berjaya. Patah sayap bertongkatkan paruh!

::Window Shopping, Trendy and Design::

Doaku

http://www.youtube.com/watch?v=pLv-Nnr8XhI&feature=player_embedded#at=42