Anda Suka Blog Ini?

::Followers::

Monday, August 18, 2008

Kampus oh Kampus dan Kisah Manis Insan-insan

TANJoNG MALIM 11 Mac - Bangunan baru Fasa 1A kampus Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berharga RM419 juta yang sedang dibina dijangka siap dalam tempoh dua tahun ini.
Canselor UPSI, Tuanku Bainun bertitah, dengan siapnya projek itu bakal menyaksikan sebahagian besar warga UPSI, pelajar dan staf serta infrastruktur dan prasarana akan berpindah ke kampus baru selewat-lewatnya tahun 2010.
Baginda bertitah, ini secara tidak langsung masalah penempatan pelajar dan kemudahan pengajaran dan pembelajaran akan dapat diatasi dengan pembangunan di kampus baru itu.
''Perkembangan UPSI dalam bidang pendidikan akan dapat berjalan seiring dengan pembangunan demi memberi yang terbaik kepada para pelajar dan staf untuk terus cemerlang dalam bidang masing-masing demi kejayaan UPSI," titah baginda di sini hari ini.
Tuanku Bainun bertitah demikian pada Istiadat Konvokesyen Ke-10 UPSI bagi sidang pertama di kampus itu di sini.
Sejumlah 67 graduan menerima Sarjana Pendidikan dan 872 graduan menerima Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah bagi sidang pertama ini.
Titah baginda, program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah itu menjadi bukti kemampuan UPSI melaksanakan dasar dan hasrat kerajaan untuk menampung keperluan guru berijazah di seluruh negara.
''Program ini merupakan satu simbol kepercayaan Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Pelajaran terhadap kemampuan UPSI melaksanakan program-program baru demi mencapai wawasan pengajian tinggi negara," titah Tuanku Bainun.
Sehubungan itu, titah baginda, UPSI perlu meningkatkan pencapaian dalam bidang penyelidikan dan perundingan serta mengantarabangsakan universiti agar ia menjadi pusat rujukan dan tumpuan serantau.
Tuanku Bainun bertitah, ini dapat dilihat melalui program-program pertambahan tenaga pengajar yang berkelulusan Doktor Falsafah (PhD) dan pengambilan pelajar asing yang lebih teratur dan meluas.
Tuanku Bainun bertitah, penubuhan Fakulti Teknikal dan Vokasional serta penawaran program-program teras tetapi dengan alternatif pendidikan menjadi langkah penting mencapai kejayaan yang diimpikan.
''Selain itu, Pusat Kajian Pedagogi akan ditubuhkan sebagai pusat aktiviti pengajaran dan pembelajaran serta pendidikan di peringkat serantau.
''Penubuhan pusat ini menampakkan hasilnya apabila beberapa agensi terutama Kementerian Pelajaran telah menunjukkan minat untuk bekerjasama dengan menggemblengkan tenaga menjayakan pelaksanaannya," titahnya.
Tuanku Bainun bertitah, Institut Pengajian Siswazah (IPS) di UPSI sudah menawarkan program Sarjana dan PhD dalam bidang bukan pendidikan.
Sehingga hari ini, 158 program ditawarkan di peringkat sarjana dan 59 bidang PhD dan daripada jumlah itu, 102 program ditawarkan dalam Sarjana Pendidikan serta 33 program PhD dalam bidang pendidikan.
Titah Tuanku Bainun, selain program Diploma Pendidikan Lepasan Ijazah yang ditawarkan IPS, IPS juga melaksanakan program kerjasama dengan Bahagian Pendidikan Guru Kementerian Pelajaran untuk program sarjana bagi pensyarah Institut Pendidikan Guru (IPG) dan program Diploma Pendidikan dengan Kolej Polytecah MARA.
IlmuSehubungan itu, Tuanku Bainun mahu setiap guru yang meninggalkan UPSI dapat menyampaikan ilmu dan pengajaran yang berguna dalam memartabatkan pendidikan negara.
Sementara itu, Penolong Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negeri Perak, Samsuring Meli, 39, adalah antara 67 graduan yang menerima Sarjana Pendidikan hari ini.
Beliau yang merupakan graduan bukan guru menerima Sarjana Pendidikan (Kesusasteraan Melayu) daripada Tuanku Bainun.
Bapa kepada tiga anak itu menjadikan kegagalan pada masa lampau bagi meraih kejayaan bagi diri dan keluarganya.
''Kejayaan saya ini adalah berkat sokongan dan dorongan keluarga terutama isteri Juwariah Muda, 38, yang membakar semangat untuk terus belajar," katanya ketika ditemui di sini.
Samsuring berkata, dia pernah gagal ketika melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada 1988 dan 1996.
Namun kegagalan itu, jelasnya, tidak melemahkan semangat sehingga dia berjaya memiliki Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Kesusasteraan Melayu) di UPSI pada 2003.
''Saya akan meneruskan pengajian sehingga ke peringkat PhD selepas ini," katanya yang kini bertugas di Ipoh.
Sementara itu, sepasang suami isteri guru, N. Rathakrishnan Naidu, 45, dan isterinya D. A. Alexander Etro, 42, yang mengalami kepayahan berulang alik dari Ipoh ke sini berbaloi apabila menerima Ijazah Sarjana Pendidikan (Pengajaran Bahagian Inggeris Sebagai Bahasa Kedua).
''Saya dan isteri berkorban kesusahan setiap minggu untuk mengikuti kuliah di sini. Saya juga terpaksa meminta ibu bapa untuk menjaga dua anak berumur tiga dan 12 tahun kerana mahu mengejar kejayaan ini," katanya yang turut mendapat sokongan isterinya itu.
Sementara itu, lapan orang guru menerima Anugerah Kecemerlangan Pingat Emas Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Aminah Ayob.
Mereka ialah Chan Seow Hong (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengurusan Pendidikan) dengan Kepujian Kelas Pertama; Alina Abdullah (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Seni) Kelas Pertama; Nik Mohd. Zaki Nik Mohamed (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Geografi) Kelas Pertama dan Norsuzila Mansor dengan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Khas) Kelas Pertama.
Empat penerima lain ialah Loke Li Mun (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESL) Kepujian Kelas Kedua Atas; S. Mogana (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Teknologi Maklumat) Kelas Kedua Atas; Fairus Fariza Zainudin (Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Sains Sukan) Kelas Kedua Atas dan Norazlina Musa dengan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Matematik) Kelas Kedua Atas.

No comments:

::Window Shopping, Trendy and Design::

Doaku

http://www.youtube.com/watch?v=pLv-Nnr8XhI&feature=player_embedded#at=42