Anda Suka Blog Ini?

::Followers::

Thursday, February 12, 2009

Hubungan

Bismilllahirrahmanirrahim.

Terdetik hati ini ingin mencoretkan entri pada kali ini berkaitan dengan perhubungan bersama manusia terutamanya dari segi persahabatan. Apabila membaca entri Baqri, sahabatku, tersentuh pula untuk mengupas tajuk ini. Apa yang ditulis ini, merupakan dari dalam hatiku dan pemikiran sendiri menurut persepektif yang difahami berdasarkan sejak akhir-akhir ini isu ini disekeliling aku seolah-olah signifikan pula dan aku hanya dengar dan mendengar. Inilah, antara sebab aku menulis entri ini juga.

"Sahabat itu boleh membawa kita ke jalan yang terbaik dan sahabat itu boleh membunuh jiwa". Rasanya itulah yang kena pada jiwa ini dan diri ini akan cuba mengungkapkan entri ini berkait dengan pepatah di atas. Dalam menelusuri kehidupan dan perkembangan diri, hidup ini saling memerlukan. Sahabat yang boleh dibawa bersama ketika dalam kesusahan dan ketika dalam kegembiraan pun turut bersama-sama. Pada diriku, aku lebih kepada naluri jika bersahabat dan pokok pangkal keikhlasan. Semua orang boleh membicarakan tentang keikhlasan dan kejujuran namun sejauh mana kejujuran itu. Suatu tahap, apabila terasa sangat menghargai rakan-rakan, terus terang hati aku akan mendoakan sahabat aku itu dilimpahi kejayaan dan mendoakan dirinya agar terasa bahawa aku ini mendoakan dirinya. Namun, jika ditanya siapa sahabat ku paling rapat, aku tidak mampu untuk hurai satu-persatu kerana insan itu ada dalam hati aku. Sikap aku tidak meluahkan rasa sayang pada teman atau sahabat, cuma aku percaya pada naluri hati. Entah mengapa boleh pula malam ini aku membicarakan hal ini sedangkan sepanjang hidup aku tidak pernah mengambil kisah tentang hal ini. Dua hari yang lepas aku berbicara dengan Aina. Aku mendoakan kejayaan yang berpanjangan untuk dirinya.

Sebenarnya, dalam kehidupan ini, sikap saling memberi sokongan itu amat penting namun, haruslah berlandaskan keikhlasan yang benar tulus sebagai sahabat. Walaupun, zahirnya sahabat itu dilihat sentiasa bersama dan berkepit ke sana ke mari, tetapi aku bukanlah jenis seperti itu. Aku pula jenis suka bebas dan main redah sahaja dengan sesiapa. Perasan atau tidak, kebanyakan konflik persahabatan itu berlaku disebabkan hati yang mudah tersentuh, kerana selama ini kita mudah berterus terang bahawa dia ialah sahabat kita. Mulut ini, kadang-kadang perlu dijaga dan dikawal, jangan mudah menyatakan " Engkaulah sahabat sejati aku" kelak apabila sahabat melakukan kesilapan, hancur perasaan kita kerana aku percaya, jika selama ini kita sentiasa sempurna pada pandangan mata seseorang, apabila kita melakukan kesilapan, kita akan terus dihukum, kerana orang itu akan menuntut kesempurnaan daripada kita. Jangan terlalu tunjuk diri kita ini terbaik dan sempurna, tetapi boleh untuk menyatakan diri sedang belajar ke arah itu. Wal hal, masalah berlaku ada perkara kerana silap faham, dan kabur insan itu akan terus dihukum dari segi mental dan afektifnya. Malah, banyak sebab yang berkait dengan dirinya sehingga boleh menjejaskan hubungan dengan sahabat. Contoh, masalah teman lelaki atau perempuan pun boleh mengusut masai kan dan sahabat pula jadi tempias.

Sebenarnya, aku mengenali diriku dengan neutral dalam perhubungan dengan sahabat. Bukan untuk menyatakan bahawa aku ini tidak bergeng, tetapi aku tidak masuk mana-mana pihak jika berlaku pertelagahan. Seseorang jika dilanda masalah, seseorang itu akan inginkan orang mendengar dan faham isi hati dan luahan. Pada masa itu, kita akan memahami kehendak atau basic need mereka ketika itu, iaitu sokongan. Tanpa sokongan, dan saling memahami, hidup ini akan tunggang terbalik. Percayalah! Masalah hati dan pelbagai masalah akan muncul jika tiada persefahaman. Titik persefahaman itu yang perlu dicari. Mudah untuk membicarakan tentang sahabat, tetapi, sukar untuk ditafsirkan. Sahabat itu ialah manusia yang saling memberi sokongan dan bukan untuk diambil peluang dan dijatuhkan dan dihukum kerana mereka ialah MANUSIA ada naluri dan perasaan, dan keinginan. Jangan sesekali mengkhianati rezeki dan kejayaan orang, kerana hidup ini akan dibalas oleh Tuhan. Jika tidak kena pada diri sendiri, percayalah pada keturunan kita kelak. Benar, bukan mudah untuk mencari orang yang benar-benar ikhlas dalam persahabatan. Namun, dalam beribu itu ada yang sangat ikhlas. Jika sahabat memerlukan bantuan, hulurlah dengan luhur seberapa kerat yang boleh. Kenapa apabila kita dilanda permasalahan, kita ingin orang lain bantu kita, sedangkan ketika orang lain ada masalah boleh pula kita lari daripada mereka?Kasihan mereka dan cubalah bersama mereka. Jangan tinggalkan mereka keseorang tanpa penjelasan yang jelas dan dihukum. Jangan menghukum mereka dengan mengangkat batu yang berat dihempas pula atas hati dan kepala mereka. Kasihanilah sahabat itu dengan penuh kasih sayang. Perlu kah diberitahu kita ini ikhlas, sayang pada kawan kita? Jika rasa perlu, luahkan lah, jika tidak, pegang dan simpan dahulu dan fikir kemungkinan yang akan berlaku jika kita luahkan. Tidak salah kita nyatakan dan tidak perlulah terlalu egoistik dan individualistik yang menunjukkan bahawa hati ini sekeras-keras batu. Tiada gunanya. Diri ini bukan mudah untuk menyatakan bahawa orang itu dan orang ini sahabat, yang penting, doa ini sentiasa ada bersama untuk sahabat kerana hanya orang tertentu sahaja boleh bergelar sahabat dalam hati ini. Jika anda bersama diri ini (aku) boleh merasakan bahawa, aku ini sayang pada kalian, maka benarlah aku sayang pada kalian. Jika kalian rasa biasa-biasa sahaja, memang biasalah hati ini pada kalian kerana aku ini sangat percaya pada naluri.

Sepanjang perjalanan yang panjang ini, aku banyak melihat situasi yang dinamakan sahabat. Ada yang layak untuk memegang status sahabat, dan ada yang layak untuk digelar kawan biasa. Situasi yang aku dengar pula, jika seseorang berbuat salah, habis dihukum sehukum-hukumnya. Keras sangat ke hati kita ni sampai tidak boleh maafkan orang? Lagikan haiwan dan binatang boleh ada naluri, inikan manusia! Memang benar, manusia adakalanya boleh jadi lebih teruk daripada binatang kerana binatang itu tidak ada sifat dan naluri untuk menghukum. Manusia sahaja yang ada kelayakannya. Suatu kisah, target aku sekarang aku ingin mendekati seseorang kerana aku rasa orang itu sedang memerlukan seseorang. Salah atau tidak aku mendekatinya, nanti pandai-pandai aku lah untuk mendekatinya. Bukan untuk menyatakan kononnya aku mahu jadi heroin, tapi kerana rasa terpanggil itu memang ada! Aku percaya, dia sangat memerlukan seseorang dan aku akan datang padanya, ketika itu aku ingin dia tahu bahawa dia bukan keseorangan kerana hati ini memang niat untuk membantu dan aku percaya jika niat baik, memang Tuhan akan bantu. Diri ini akan sentiasa bersama kalian jika tiada sesiapa di sekeliling, jadi aku akan datang. Aku akan hadir apabila semua orang tidak mempedulikan dirimu dan aku akan tinggalkanmu ketika dirimu sedang bergembira bersama yang lain. Sedih lah pula apabila lepas menulis ayat sebelum ni.

Dalam bersahabat, hargailah seseorang itu, janganlah jadi terlalu bongkak dan hati batu serta iri hati dengan kejayaan orang lain. Sudahlah keras hati, iri hati pula. Jika rakan berjaya, banyak pula berdalih dan tidak suka pada orang. Kenapa mesti ada perasaan itu sedangkan patut mencontohinya. Kita tidak boleh jadi dirinya, tapi kita boleh ambil nilai daripada dirinya agar berjaya sepertinya. Mengapa perlu ada perasaan itu. Sebenarnya, itulah yang membunuh diri kita. Itu secara implicit dan sering kita terlepas pandang. Sahabat buat itu, kita pula mahu seperti itu sedangkan itu bukan diri kita. Tidak kongruen namanya, namun kita boleh menjadi sepertinya dan ambil nilai jadikan dirinya sumber inspirasi. Diri tidak perlu ego dan tidak perlu terlalu hipokrit. Tidak semua cerita tentang kita perlu diluah pada orang@sahabat, kerana perlu difikirkan kesannya.

Kesimpulannya, hidup ini perlu positif pada semua sahabat sekeliling dan berikan penghargaan pada dirinya. Mungkin orang yang masih tidak kenal potensi diri, tetapi apabila diberi penghargaan dengan sepatah perkataan boleh mengubah hidupnya! Bertambahlah pahala kita pula kerana satu ayat dari bibir kita, mampu memberi sinar pada dirinya. Dalam bergaul dengan sahabat ini, kita jangan terlalu letak nilai kita. Contohnya, kita ini orang yang tidak boleh dibawa bergurau, jadi bersederhanalah, jangan pula dikondem terus orang itu menyatakan, tidak baiklah apa lah. Terbaik kah kita? Bak kata pepatah, "Masuk kandang kerbau, menguak, masuk kandang kambing mengembek". Prisip aku, layan,.sebab aku go on jer dengan sapa-sapa. Tapi, jati diri ini tidak pernah tumbang walau macam mana pun sahabat. Ceewah..! Jadi perlu kebal tetapi layan itu perlu! Jika tidak, susah nak masuk dengan orang. Manakala jika jenis yang terlalu mulut tiada insuran, perlu juga bersederhana kerana mungkin orang yang tidak boleh dibawa bergurau itu terasa. Jadi, dalam bersahabat ini, perlu bersederhana kerana aku ingat pesan ibu aku, "Berkawan dengan orang jangan letak orang itu terus dalam perut, jadi berpada-pada untuk tidak sakit" dan berfikirlah positif walaupun orang anggap apa pun pada diri kita kerana kita tidak boleh menyekat setiap perjalanan otak dan pemikiran orang lain untuk memberi tanggapan pada diri kita. Biarlah hanya kebenaran yang berlaku di nun sana. Berikan sokongan dan galakan pada insan yang hadir, bukannya memberi halangan.

"Apabila dikau berseorangan aku akan hadir, apabila dirimu sedang bergelak ketawa, aku akan tinggalkan dirimu kerana itulah hati sahabat yang ingin melihat kebahagiaan insan-insan, kerana jika seseorang itu terasa perlukan seseorang, ketika itulah dirinya akan mula belajar untuk menghargai"

No comments:

::Window Shopping, Trendy and Design::

Doaku

http://www.youtube.com/watch?v=pLv-Nnr8XhI&feature=player_embedded#at=42