SEKALI imbas, selayaknya Ahmad Nazrin Abu Bakar, 33, bergelar peguam syarie atau bekerja dalam sektor perundangan kerana latar belakang pendidikan dimiliki menjurus ke arah itu.
Selepas memiliki segulung ijazah dalam jurusan undang-undang daripada Universiti Islam Antarabangsa (UIA), anak muda ini meneruskan langkah dengan menyambung pengajian di peringkat Diploma Syariah, juga di tempat yang sama.
Namun, realitinya jauh berbeza kerana apa yang dilakukan sekarang lebih kepada minatnya terhadap aktiviti sukan lasak terutama mendaki gunung dan berkhemah. Jadi, tidak hairanlah anak jati Kuala Lumpur ini mempunyai premis sendiri membekalkan peralatan aktiviti lasak.
Perniagaan yang dijalankan bersama rakan baiknya ketika menuntut di UIA, Faizal J k Mohd Radzali, 33, berjaya membuktikan pilihan yang dibuat memang tepat memandangkan sambutan terhadap sukan itu ketika ini sangat memberangsangkan.
Kini, Real Adventure Gear Sdn Bhd berdiri megah di Kompleks Pertama, Kuala Lumpur atas titik peluh sendiri dengan membekalkan peralatan seperti pelbagai beg, peralatan serta pakaian terutama jenama Eiger yang terkenal di pasaran Indonesia serta produk Bodypack dan Nordwand.
Tujuh gunung yang digelar G7 ialah dua gunung di Pahang iaitu Gunung Tahan dan Yong Belar serta lima di Perak iaitu Gunung Korbu, Goyung, Yong Yap, Chamah dan Ulu Sepat.
Pencapaian yang dikecapi Nazrin pada hari ini bukannya suatu yang datang secara mudah dan beliau bukannya mewarisi kemewahan keluarga tetapi berusaha sendiri.
“Saya pernah bekerja di sebuah syarikat dan memegang jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 2002 tetapi berhenti tiga tahun selepas itu. Rasanya jiwa saya lebih kepada kegemaran saya dalam sukan mendaki tetapi kini fokusnya kepada membekalkan peralatan dan keperluan.
“Lebih mudah bekerja sendiri kerana saya akan memegang amanah saya sendiri. Jika berusaha kuat, kami akan dapat lebih, jadi semuanya bergantung kepada diri sendiri. Sama juga konsep ketika mendaki, kena berdikari dan membuat keputusan sendiri,” katanya.
Semua pengalaman, kesusahan hidup diaplikasikan bapa kepada empat anak ini ke dalam dunia perniagaan dan hidupan harian dengan menganggap segala cabaran, masalah sebagai satu rencah untuk beliau membaiki diri mencapai kejayaan.
Mungkin ada yang tidak percaya, anak muda ini setiap tahun menghabiskan masa sepanjang bulan Ramadan menjual songkok sempena Aidilfitri.
“Berniaga di Jalan Masjid India memang seronok. Biasanya kami akan pulang ke rumah pada jam 6 pagi hari raya pertama. Sampai rumah terus bersiap untuk ke masjid, memang penat tetapi pengorbanan ini berbaloi.
“Tiada apa nak dimalukan, memang saya ada kelulusan akademik yang baik, tetapi itu bukan jaminan. Seronok berada di bawah bersama masyarakat kerana ia membantu saya belajar mengenai kehidupan,” katanya.
Bahkan, sepanjang pengajian di UIA, ada saja kerja dilakukan sepanjang musim cuti untuk menambah pendapatan. Banyak kerja yang dilakukannya termasuk di stesen minyak, mengecat rumah, buruh binaan, pembantu di pusat membeli-belah, berniaga di pasar malam dan pasar tani.
“Saya dah lali kena marah, kena arah, bertindak ikut arahan bos. Semua saya dah rasa, cukuplah. Saya dah puas bekerja ketika zaman menjadi pelajar universiti. Itu sebenarnya pengalaman cukup berguna untuk saya.
“Sekarang saya buat apa yang saya suka, mengikut minat dan ia sebenarnya lebih menarik tambahan pula bidang ini berkait rapat dengan sedikit pengalaman sedia ada. Syukur, bidang ini menjanjikan masa depan yang cerah kerana tidak ramai anak Melayu yang membekalkan keperluan mendaki,” katanya.
Sebagai permulaan sebelum memiliki premis sendiri, beliau dan rakannya banyak menyertai jualan di karnival untuk memperkenalkan produk mereka. Hari ini, Real Adventure adalah antara pembekal utama barangan.
3 comments:
salam...kali 1 melawat blog anda..nice blog.
mmg kerja ikut minat lebih memuaskn...
lebih berjaya...
but sometimes juga dipengaruhi oleh "anasir2" lain...
juz hope i can be as tough as this person :)
wsalam..sir nik..thnks alot..
kristy..thnks too..i hope u will..InsyaALLah..
Post a Comment