Anda Suka Blog Ini?

::Followers::

Monday, August 17, 2009

Tiba Masa Untuk " Berehat " Seketika

Alhamdulillah.

Saya tidur bagai tidak ingat akan dunia. Mungkin kerana mengambil 4 biji ubat. Pukul 8 pagi saya ke klinik kesihatan UPSI. Tidak pula meminta cuti. 2 kelas saya terpaksa tinggalkan. Keadaan berasa sangat tidak sihat selepas pulang dari KL. Dunia diledakkan dengan isu H1N1 yang tidak tahu, bilakah penghujungnya. Semuanya berserah pada Tuhan. Makin ramai yang demam, makin meningkat pula angka kematian. Johor merupakan negeri tertinggi buat masa ini yang melibatkan kematian. Jauhkanlah kami YaAllah!

Jam 2 petang, saya melangkah ke kelas ganti Kaunseling Islam. Sihat tidak sihat kena pergi juga. Saya terhuyung-hayang kerana memakan ubat yang memberi kesan mengantuk. Berjalan seorang diri membuatkan diri banyak berfikir dan bermuhasabah tentang isu yang melanda dan perkara-perkara tersirat tentang ujian Tuhan. Setiap langkah, maka setiap pusingan fikiran, ligat diri ini berfikir di sebalik penyakit yang diizinkan Tuhan ini. Konspirasi di sebalik penyakit ini bermain di fikiran dan andaian-andaian tidak mampu merungkaikan jawapan, kerana Allah yang Maha Mengetahuinya. Di sebalik isu melanda ini, sudah masanya manusia berehat seketika. Tiada lagi manusia yang terkinja-kinja melompat tidak tentu arah dengan budaya hedonisme, tidak patut lagi anak-anak muda bergentayangan merempit, budaya gedik-gedik , seksual yang tidak ingat dunia, bersuka-suka dan segala bagai yang melalaikan patut ditinggalkan. Bukan tinggal untuk sementara, lagi baik tinggalkan terus. Jika berpunca daripada babi, maka, jika ingin dihapuskan babi-babi, dipersilakan kepada pihak dan manusia yang bertanggungjawab untuk menghapuskannya. Jika itu yang terbaik, dipersilakan daripada manusia mati kerana babi. Walau bagaimanapun, Fun perlu ada, yakni fun yang tidak melalaikan. Sesungguhnya, wabak H1N1 membuatkan diri ini banyak berfikir, siapakah hamba Allah yang akan datang menyelamatkan manusia dengan penciptaan vaksin H1N1 ini. Jauhkanlah kami, terutama keluargaku, umat Islam, dan semua umat manusia daripada wabak ini. Berikanlah petunjuk kepada diri ini, dan kami semua jika kami ini manusia yang lalai. Ampunkanlah diri ini, keluarga diri ini, umat Islam, dan manusia lain sebelum tiba ajalmu Tuhan. Aku ini hanya mampu berdoa.

Benar, sudah tiba masanya, untuk kita berhenti rehat seketika, sama-sama berfikir dan menelaah, sama-sama berusaha untuk menghindari H1N1. Walau bagaimanapun, hidup mesti diteruskan. Cuma doakan aku agar tidak tergelincir daripada landasanMu. Bangun pada pagi ini, lantas membuka laptop dan membaca entri daripada En.Mohd Hazwan Mohd Nor tentang entri Masa untuk memperlahankan Kehidupan. Penulisannya amat membukakan minda. Layak benar, manusia ini menjadi YB yang prihatin. Kita ikuti penulisannya dan cuba kaitkan dengan wabak H1N1.

Tiba masanya untuk kita memperlahankan kehidupan. Dalam mengejar impian, cita-cita dan harapan kita tidak boleh terlalu tergopoh-gapah. Kita perlu ada perancangan dan jalur pemikiran yang terancang, kemas lagi teratur. Tidak boleh tidak segala yang kita inginkan perlu selari dengan kekuatan, tenaga dan kudrat. Hakikatnya kita tidak boleh terlalu mengejar sesuatu di luar batas kemampuan.

Mahu cepat-cepat ini nak ke mana? Kita mahu mengejar apa sebenarnya. Kita mungkin mengejar masa sedangkan masa itu telah diperuntukkan buat kita. Masa muda adalah ruang untuk kita membina masa depan. Muda ertinya penuh idea. Kemudaan ini adalah senjata ampuh untuk menolak bingkai-bingkai sosial lama yang tidak lagi menarik dan menawan.

Sesekali kita berfikir dan merenung hati kecil kita untuk bertanya apakah jalan ini satu keputusan yang tepat dan betul. Sesekali kita sangsi dan ragu-ragu. Masa terus berjalan dengan kesangsian dan keraguan itu. Yang pasti kita tidak boleh berundur ke belakang selepas membuat sesuatu keputusan. Kita perlu terus melihat ke depan.

Kita mesti teruskan perjalanan. Ini diadun dengan sifat tabah, tegar dan istiqamah pada keputusan yang telah dibuat. Tidak pernah sekali anak-anak muda menyesali dalam hidup. Kita perlu terus berjuang. Akan sampai masanya lagi kita memakan mayat rakan kita sendiri dek kerana mahu segera dan cepat.

Demam itu satu kifarah dosa. Semoga kehidupan ini tidak dilihat begitu naif dan membosankan. Kita perlu merayakan kehidupan dengan idealisme dan jalur pandangan yang positif. Jika tidak apa bezanya kehidupan di 1Malaysia ini berbanding Kabul. Lebih baik tinggal di Gaza jika kita sudah tidak tahan dengan rencam kehidupan.

Permatang Pasir adalah manifestasi dua parti politik yang sepatutnya memperlahankan kehidupan. Jika kita terus bergaduh dan bertengkar bilakah masanya untuk kita merancang kehidupan. Selepas pilihanraya kita kembali bekerja untuk sebuah pencerahan.

1 comment:

zaijb said...

Berehatlahh... Moga cepat sembuh, dan juga berharap wabak ini akan cepat berakhir...
Ya Allah selamatkanlahh keluargaku, moga terhindar dr penyakit ini...amin.

::Window Shopping, Trendy and Design::

Doaku

http://www.youtube.com/watch?v=pLv-Nnr8XhI&feature=player_embedded#at=42