Anda Suka Blog Ini?

::Followers::

Wednesday, April 8, 2009

UPSI Terbuka (Bahasa Cetus Minda Pencipta)


Assalamualaikum. Membaca Berita Harian secara online, mata aku tertancap pada suatu ruangan sastera. Sebelum ini aku menerima mesej daripada Ariff MPP Akademik dan Kerjaya UPSI tentang isu PPSMI yang dikendalikan oleh Biro Akademik dan Kerjaya masuk akhbar. Kerana demokrasinya UPSI, isu PPSMI ini telah berjaya diadakan dan ramai ingin mengetahui dan dahagakan maklumat tentang isu ini. Berikut merupakan kupasan pada ruangan akhbar tersebut oleh wartawan Nazmi Yaakub bertarikh 9 April 2009.

Pengalaman Jerman dan Jepun diketengahkan sebagai bukti hujah

KEPENTINGAN penyampaian ilmu dalam bahasa ibunda seperti dibuktikan Jerman dan Jepun apabila berjaya menjadi bangsa yang maju mendapat perhatian pada Forum Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI): Antara Inovasi dan Konfrontasi dalam Pendidikan.

Forum di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, baru-baru ini, turut membawa lebih 100 khalayak untuk melihat hakikat himpunan ilmu dalam bahasa ibunda dapat memberi dorongan kepada kedua-dua bangsa terbabit untuk tidak terperangkap menjadi bangsa pengguna, sebaliknya berubah kepada bangsa pencipta.

Pensyarah Upsi, Prof Emeritus Dr Abdullah Hassan, menekankan pentingnya pengajaran dan pembelajaran di sekolah menggunakan bahasa ibunda untuk memastikan himpunan ilmu dalam bahasa berlaku dan menyumbang kepada pembinaan kepustakaan dalam bahasa sendiri, tanpa perlu terlalu bergantung kepada bahasa lain.

‘Dengan cara ini kita tidak hanya menjadi pengguna kepada ilmu dan teknologi dari luar. Hal ini pernah berlaku di Eropah pada zaman sebelum pembaharuan apabila orang Inggeris belajar dalam bahasa Latin, manakala bangsa Jerman pula terpaksa meminjam bahasa Perancis untuk proses mendalami ilmu,” katanya pada forum anjuran Majlis Perwakilan Pelajar UPSI (MPPUPSI) yang dipengerusikan Pensyarah Upsi, Ariff Mohamad.

Situasi itu menyebabkan ahli falsafah Jerman mempersoalkan sebab bangsa Jerman sepandai orang Perancis, tetapi negara mereka tidak semaju jirannya itu dengan memberi jawapan bahawa ia berpunca daripada tindakan belajar dalam bahasa lain sehingga Jerman menukarkan sistem pendidikannya ke bahasa sendiri.(Memang betul yang disampaikan sehingga membuatkan para hadirin senyap berfikir).

Prof Emeritus Abdullah merumuskan himpunan ilmu dalam bahasa ibunda, mendorong bangsa itu untuk bukan saja mempelajarinya dengan menerima bulat-bulat, bahkan merangsang mereka untuk mempersoalkannya kembali sehingga ia menjadi soalan bersifat setempat.

“Apabila belajar ilmu biologi, kita tidak lagi hanya mengkaji tumbuhan dan haiwan di Barat saja. Sebaliknya kita mengkaji flora dan fauna negara sendiri. Dengan itu akan ada kesan seperti di Thailand sehingga terhasil durian Thai dan lahir keghairahan menghasilkan durian tanpa duri. Saintis Barat tidak akan beri perhatian pada perkara seperti ini,” ujarnya.(Walaupun nada beliau bergurau, logiknya ada dan hadirin terpaku mendengarnya). Memang betul pun, kita bukan nak kaji di negara orang, kita nak kaji kat negara kita!. (Beliau cakap durian Thailand tu sebenarnya usaha Thailand nak buat, tapi akhbar ni pula seolah-olah beritakan macam Thailand dah buat,apa daaaa)

Bahkan, Prof Abdullah yakin bahawa himpunan ilmu tempatan akan menumbuhkan kreativiti pribumi kerana bangsa berkenaan akan memberi tumpuan kepada perkara yang berkaitan dengan budayanya seperti dipamerkan bangsa Jepun yang berjaya memacu kejayaan negara melalui kesetiaan kepada bahasa sendiri.

“Selain budaya kaizen, bangsa Jepun terkenal dengan bonsai iaitu mengecilkan apa saja bersaiz besar sehingga mereka berjaya menghasilkan banyak teknologi baru. Teknologi yang asal dipinjam daripada bangsa lain, apabila dibawa masuk ke Jepun, diubah dan dipasarkan ke pasaran dunia seperti ketuhar gelombang mikro,” jelasnya.(Sila baca entri yang aku dah ulas sebelum ini berkait dengan budaya bonzai kat bawah tu).

Pandangan itu, diperkukuhkan rakan sejawatannya, Prof Emeritus Datuk Dr Isahak Haron yang mengkaji kesan dasar PPPSMI di sekolah rendah dan menengah, apabila merumuskan pelajar yang menggunakan bahasa ibunda atau keluarga untuk belajar Sains dan Matematik, prestasinya meningkat berbanding kelompok yang menggunakan bahasa kedua.

“Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (Unesco) mengesyorkan bahasa keluarga digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran bagi memudah serta mengukuh kefahaman konsep subjek. PPSMI tidak membantu meningkatkan penguasaan bahasa kedua mahupun menambahbaikkan kefahaman pelajar,” katanya.

Kajian Prof Isahak berdasarkan kerja lapangan turut menunjukkan dasar PPSMI lebih menguntungkan pelajar yang sudah menguasai bahasa Inggeris, terutamanya mereka yang berasal daripada keluarga yang ibu bapa menggunakan bahasa berkenaan di rumah.

“Bahasa Inggeris menjadi bahasa keluarga kepada masyarakat bandar yang ibu bapanya golongan profesional, tetapi masyarakat bandar bukan profesional tidak mendapat manfaat. Kesannya, pelajar di luar bandar atau bandar yang keluarganya bukan profesional, bukan saja lemah dalam bahasa Inggeris, Matematik dan Sains, pada tahun pertama, bahkan bertimbun-timbun apabila naik ke tahun berikutnya,” katanya

Itulah antaranya yang dinyatakan dalam akhbar. Bersama fikirkan dan wajar kita julang bahasa kita, namun aku sendiri masih belajar bahasa Inggeris kerana mungkin akan jadi bahasa periuk nasi aku, walaupun aku masih merangkak-merangkak. Namun bahasa kita tetap nombor 1 dan aku lihat sendiri, Prof.Emeritus Abdullah Hassan sangat jelas BI dan tutur bahasanya dalam Bahasa Inggeris amat bagus. Walaupun pandai bercakap dan master dalam BI, namun jati dirinya tidak pernah terhakis dengan Bahasa Inggeris kerana tetap memperjuangkan Bahasa Ibunda. Teringat pula kata-kata beliau, Menurut pejuang Bahasa; Aminuddin Baki, menyatakan mungkin orang Melayu sendiri yang mengugat Bahasa sendiri, sedangkan pada masa yang sama orang Melayu yang memperjuangkan Bahasa Melayu itu sendiri. (Lebih kurang macam tu lah). Aku pun tidak pasti. Memetik kata-kata Profesor Ungku Abdul Aziz, "Belajar sambil mencabar, pengetahuan tidak berjuntai seperti pisang, bangsamu tidak termaju tanpa pemimpin, biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar. Tahniah sekali lagi diucapkan kepada semua yang menjayakan forum ini khasnya Biro Akademik dan Kerjaya.

(Kes Altantuya pula Sirul dan Azilah kena hukuman gantung sampai mati..hurm..)

Setakat itu sahaja.

Wassalam.

No comments:

::Window Shopping, Trendy and Design::

Doaku

http://www.youtube.com/watch?v=pLv-Nnr8XhI&feature=player_embedded#at=42