Oleh Dr. Ismail Zain
Sebagai seorang pelajar sekolah yang cemerlang mereka seharusnya mampu mengeluarkan pandangan, buah fikiran yang bernas maupun memberi kritikan yang membina dengan tujuan untuk menjana pemikiran yang kritis dan kreatif serta membina keperibadian dan ketrampilan diri yang unggul. Ia menjadi satu keperluan kepada diri pelajar sebagai satu persediaan bukan sahaja untuk melangkah ke peringkat pengajian yang lebih tinggi malah sebagai langkah penyuburan diri dalam karier masing-masing nanti.
Untuk mencapai hasrat yang murni ini, pelajar perlulah “bercakap” dengan erti kata digalakkan mengambil bahagian secara aktif dalam pelbagai aktiviti kurikulum dan kokurikulum. Melalui percakapan yang dilahirkan dalam mesyuarat, perbincangan, perbahasan atau persembahan, mereka mampu mengasah bakat serta memperkembangkan potensi pelajar secara menyeluruh dan bersepadu sepertimana yang dihasratkah oleh Falsafah Pendidikan Kebangsaan.
Apa yang dikesalkan ialah pelajar lebih gemar ”bercakap-cakap” daripada ”bercakap”. Apa yang dimaksudkan dengan ”bercakap-cakap” ialah berbual kosong, mengkritik tanpa rasional atau hanya ingin berbuat bising dengan bertujuan untuk menggagalkan sesuatu program yang ingin dijalankan.
Pelajar begini hanya berani bercakap-cakap di belakang tetapi tidak berani menonjokan diri dalam sesuatu majlis. Mereka sebenarnya penakut kerana tidak ingin bertanggunjawab dengan apa yang mereka katakan. Mereka lebih suka agar segala perancangan yang baik itu tidak dapat dinikmati oleh sesiapapun termasuk mereka sendiri. Pelajar seumpama ini mengamalkan tabiat apa yang diistilahkan oleh Pakar Motivasi Stephen Covey sebagai gagal/gagal.
Di antara perlakuan yang harus dilakukan oleh pelajar agar diri mereka sentiasa cemerlang ialah:
• Menyertai aktiviti secara aktif: Walaupun aktiviti diwajibkan untuk pelajar menyertainya tetapi ia bukanlah hakikat sebenar untuk menyertai sesuatu aktiviti. Penyertaan seharusnya menyeluruh bukan sekadar untuk memenuhi jadual kedatangan sahaja. Pelajar boleh mengambil bahagian dalam sesuatu aktiviti atau menjadi anggota ahli jawatankuasa ataupun sekurang-kurangnya menjadi pembantu kepada rakan peserta. Dengan cara ini pelajar mampu belajar berbagai pengalaman melalui penglibatan tersebut.
• Pemindahan ilmu: Pelbagai ilmu dipelajari dalam penyertaan pelbagai aktiviti. Ilmu, pengetahuan dan pengalaman bukan hanya berakhir di situ sahaja, tetapi boleh diperkembang, diguna dan dipindahkan ke dalam kehidupan seharian. Sebagai contoh dalam aktiviti Persatuan Bulan Sabit Merah pelbagai teknik telah dipelajari untuk memberi bantuan kecemasan. Dalam hal ini sekurang-kurangnya teknik ini dapat digunakan dalam kehidupannya maupun dalam kehidupan masyarakat umum.
Justeru, pelajar harus mengambil bahagian secara aktif agar hasilannya nanti dapat memberi menfaat ke arah pembangunan diri.
Aktiviti kumpulan:
Bincangkan bagaimana aktiviti yang diceburi di sekolah dapat memberi manfaat dalam kehidupan seharian pelajar. Beri contoh-contoh yang spesifik.
No comments:
Post a Comment